Jatuh tangga itu sakit. Anda pernah jatuh tangga? Kalau anda tinggal di rumah yang ada tangga kayu yang anak tangganya bulat, anda tentu mengerti betapa sakitnya apabila jatuh tangga. Masa kanak-kanak, aku pernah jatuh tangga kerana aku suka berlari naik ke rumah. Sakitnya. Aku tergelincir dan jatuh terkangkang di atas anak tangga. Nasib baik telur tidak pecah. Menangis berlagu tanpa lirik. Namun, dalam tangisan aku mampu tersenyum melihat dua biji telur ayam aku masih dalam genggaman.
Jatuh tangga sakit, tetapi jatuh cinta lagi sakit. Lazimnya orang yang kecundang dalam percintaan yang sakit. Orang jatuh cinta tidak sakit. Orang jatuh cinta hanya suka berangan-angan. Pagi dan petang pasang angan-angan. Berdiri berangan, duduk pun berangan. Masa tidur usah dicakap lagi. Angan-angannya mengalahkan Mat Jenin. Nasib baik tidur atas rumah. Kalau tidur atas pokok macam orang zaman rimba, jatuh ke tanah jawabnya. Dalam angan-angan ada senyum. Dalam senyum ada sindiran. "Woi, gilakah senyum sorang-sorang!"
Orang lain tidak tahu kerana bukan dia yang jatuh cinta. Mana ada orang jatuh cinta senyum seorang diri. Dia senyum dengan buah hati dia. Oleh sebab buah hati dia itu cuma mata dia sahaja yang nampak, mata orang lain tidak nampak, maka orang akan kata dia gila. Biasalah orang jatuh cinta. Senyum seorang diri pun bahagia.
Tetapi ada sejenis jatuh cinta yang amat sakit. Lebih sakit daripada jatuh tangga. Bukan cinta sejenis. Itu cinta songsang tidak masuk dalam kamus cinta aku. Cinta akan jadi satu kesakitan apabila hati terpaut pada kawan karib sendiri; kawan yang sudi ketawa dan menangis bersama. Kenapa, sakitkah mencintai kawan karib? Sakit sekali apabila kawan karib itu kita tahu hatinya terpaut kepada orang lain. Hati kita tersangkut pada dia, tetapi hati dia tersangkut pada hati orang lain.
Kalau bukan kawan karib tidak jadi hal. Kita boleh angkat kaki dan belah sahaja. Cari haluan lain yang tidak perlu menatap muka dia setiap hari. Tetapi kawan karib sukar untuk kita melarikan diri. Kita sayang kepada dia kerana dia kawan kita. Kawan karib bukan senang dicari. Kawan yang hanya reti menumpang ketawa bukan karib namanya. Kawan karib ialah kawan rapat yang sedia berkongsi suka duka. Bagaimana kita hendak mengelakkan diri?
Meluahkan isi hati bukan sesuatu yang baik kerana kita tahu dia suka orang lain. Memendam rasa kita pula yang sakit. Lazimnya kawan karib sepejabat dengan kita. Hampir setiap hari berjumpa, bersua dan bertegur sapa. Sakit akan datang apabila kita melihat dia berbual telefon lama-lama dengan orang lain. Sakit pasti menjelma apabila dia sering membalas senyum dengan kawan lain di depan kita. Sakit tentu muncul setiap kali ada orang keluar makan dengan dia tanpa mengajak kita. Walaupun kawan karib, kita dengan dia tidak bersama dua puluh empat jam. Masa tidak bersama itulah sakit kita berdenyut-denyut. Sakit yang keterlaluan, resah yang tidak keruan dan bimbang yang tidak menetu adalah tanda cinta kita semakin mendalam. Kita dilanda penyakit cemburu. Kita cemburu pada setiap orang yang menghampiri dia. Kita cemburu walaupun dengan bos di pejabat. Kita resah apabila dia menghilang diri dalam bilik bos terlalu lama.
Dua perkara yang patut kita lakukan, itupun sekiranya berani.
Pertama, luahkan isi hati kita dan bersedia menerima kenyataan seandainya terpaksa kehilangan seorang kawan yang baik.
Kedua, pendamkan perasaan dan biasakan diri dengan kesakitan-kesakitan yang ada dan yang bakal muncul.
Kalau anda memilih cara pertama, pilih masa dan suasana yang sesuai untuk membuka bicara. Jangan mendesak. Kita kena beringat bahawa dia kawan karib kita bukan kawan biasa. Kita tentu tidak mahu dia membenci kita. Oleh itu, berhati-hati dengan cara pertama kerana akibatnya sama ada CINTA atau MUSUH. Jarang sekali kita dapat kekalkan pertalian persahabatan abadi dengan orang yang menolak cinta kita.
Kalau anda memilih cara kedua, terdapat beberapa perkara harus dipatuhi. Pertama, jangan tunjukkan sebarang reaksi yang kita mencintai dia. Seandainya dia sedar kita mencintai dia dan dia pula tidak mencintai kita, dia akan serba salah dan susah hati. Kita juga akan sakit apabila tahu bahawa dia menyakitkan kita, kawan karibnya.
Kedua, jangan sesekali menunjukkan sikap cemburu walaupun perasaan itu ada. Sekiranya dia sudah berpunya, dia akan meluat apabila kita cemburu kerana kita bukan orang teristimewa dia. Cemburu ini bukan hanya kepada kekasih. Kepada kawan pun ada perasaan cemburu. Oleh itu, kawal perasaan cemburu.
Ketiga, jangan terlalu dekat dengan dia masa berjalan, berbual, atau makan. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan kemungkinan kita dan dia akan bersentuhan. Bersentuhan walaupun secara tidak sengaja akan "menghangatkan" perasaan yang akhirnya kita sendiri menjadi semakin sakit. Dia tidak sakit kerana dia tidak ada perasaan cinta kepada kita.
Walau apapun, keputusannya di tangan anda. Anda boleh memilih cara pertama atau kedua, atau anda ada cara ketiga yang lebih baik!
Kata-Kata Kecinta
Blog Archive
-
▼
2009
(118)
-
▼
October
(14)
- Ada Kebenarannya
- Simpan Rahsia Cinta
- Wanita Tulang Rusuk
- Tips Cairkan Hati Lelaki
- Kawal Fikiran Elak Cemburu
- Mengapa Perpisahan Berlaku?
- Gerak Hati Jodoh
- Sakit Ini Di Mana Penghujungnya?
- Renungan Kata Pengisian Jiwa
- Apakah erti kerinduan?
- Hargai Anugerah Cinta
- Ulasan Kata Cinta
- Hidup Tanpa Sebuah Cinta
- Cara Membuat Hidup Ini Amat Bermakna
-
▼
October
(14)
10/20/09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Klien Kecinta
Total Pageviews
Muat-turun Artikel
kecinta.blogspot.com
2 comments:
yaa mmg sakit jika jatuh cinta pada sahabat
tetapi bagaimana pula jika sahabat itu memberi kan harapan walaupun dia sudah berpunya?
Kepada Cik Dyla Dalyla,
Saya syorkan Anda Mengikut Gerak Hati Jodoh.
Kemudian Anda Cuba Cari Beza Antara Suka, Cinta Dan Sayang.
Nanti Anda Akan Temukan Jawapan Yang Anda Inginkan.
Info Gerak Hati Jodoh :
http://kecinta.blogspot.com/2009/10/gerak-hati-jodoh.html
Post a Comment